Latest Biometric News
News >> Siasatan guna kaedah forensik bertambah
Latest Biometric News
>> back 
Siasatan Guna kaedah forensik bertambah

Utusan Malaysia, Mei 13, 2005

OLEH SOPI SAMAILE
 

KUALA LUMPUR 12 Mei - Peningkatan mendadak jumlah kes yang dirujuk ke Makmal Forensik Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak dua tahun lalu membuktikan siasatan menggunakan pendekatan sains forensik telah diterima secara meluas dalam setiap penyiasatan kes jenayah di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar berkata, pada tahun 2003, sebanyak 691 kes dirujuk ke makmal forensik melibatkan penganalisaan 13,779 bahan bukti manakala tahun lalu jumlah kes ialah 883 dengan 21,696 bahan bukti.

Menurutnya, pertambahan ketara itu menunjukkan bahawa siasatan menggunakan saintifik melalui sains forensik banyak membantu menyelesaikan kes-kes jenayah.

``Sungguhpun makmal forensik ini baru sahaja beroperasi namun ia banyak membantu polis dalam analisis forensik.

``Antara ujian yang dilakukan di makmal ini ialah ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA), analisis komputer, pemeriksaan cap jari dan kenderaan, ujian balistik serta pemeriksaan dokumen,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Makmal Forensik PDRM di Cheras yang telah memulakan operasinya sejak April 2002.

Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Saari; Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd. Najib Abdul Aziz dan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Yahya Udin.

Mohd. Bakri berkata, pada masa ini makmal forensik tersebut mempunyai empat bahagian utama iaitu bahagian fizikal, kimia, narkotik serta biologi.

Katanya, makmal itu dilengkapkan peralatan berteknologi tinggi seperti profil analisis DNA, pengimbas balistik dan beberapa peralatan lain.

Tambahnya, bagi memastikan makmal forensik bergerak dengan berkesan, PDRM menempatkan sembilan pegawai berkelayakan di bahagian kimia, enam (biologi), sains komputer serta sains gunaan masing-masingnya lima orang serta tiga di bahagian balistik.

``Kewujudan makmal forensik ini dapat mengurangkan beban kepada Jabatan Kimia, namun polis masih memerlukan jabatan tersebut untuk mengendalikan kes-kes besar.

``Contoh kes-kes besar telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis ialah pembunuhan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Norjan Bahadar Khan serta kes bunuh dan rogol penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Lay Kian,'' ujarnya.

Justeru, kata beliau, polis akan terus meningkatkan lagi bilangan pegawai yang mempunyai kelulusan akademik dalam bidang sains tulen, biologi dan kimia bagi memastikan keperluan tenaga pakar tidak terputus.

Pada masa sama, katanya, pegawai-pegawai sedia ada akan diberi peluang melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah.

Makmal forensik itu juga menerima pelajar-pelajar untuk latihan praktikal dalam bidang sains biologi serta kimia khusus dari Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

>> back