News
Archive
Archive 2003 >> Tiga lagi pelabuhan bakal guna MyKad
Latest Biometric News
>> back 
Tiga lagi pelabuhan bakal guna MyKad

Utusan Malaysia, July 10, 2003

KUALA LUMPUR 9 Julai - Tiga buah lagi pelabuhan tempatan dijangka akan mengikuti jejak pelabuhan Northport dan Mimos Bhd. untuk menggunakan MyKad bagi meningkatkan kecekapan operasi serta keselamatan perdagangan.

Tiga pelabuhan itu adalah Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Westport di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Pulau Pinang, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Azizan Ayob.

``Selain pelabuhan, tujuh bank tempatan lain turut bersetuju mengguna pakai kad pintar tersebut yang dijangka mampu menjana peningkatan jumlah pelanggan,'' kata beliau.

Azizan berkata, pertambahan penggunaan kad tersebut akan mampu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem aplikasi MyKad yang `selamat' dan boleh `dipercayai'.

``Soal keselamatan yang ditawarkan oleh MyKad semakin diyakini kerana ia nya menggunakan teknologi terkini bertaraf dunia, bukan mendapat pengiktirafan tempatan sahaja,'' kata beliau selepas melancarkan penggunaan kad oleh Mimos di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran kad itu ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mimos, Tengku Azzman Shariffadeen dan Pengerusi Mimos, Datuk Ariff Araff.

Azizan berkata, Mimos akan menggunakan MyKad dalam aspek pengurusan operasi dalaman perniagaan termasuk pengendalian perkhidmatan pelanggan menerusi aplikasi Prasarana Kekunci Awam (PKI) kad itu.

PKI yang bertindak sebagai alat pengesahan diri dalam sebarang transaksi di Internet merupakan aplikasi kelapan bagi Mykad selepas aplikasi kad pengenalan, lesen memandu, maklumat pasport, Touch 'n Go, maklumat kesihatan, e-tunai dan mesin juruwang automatik (ATM).

Pada awal bulan ini, Northport bersetuju menggunakan MyKad sebagai pas utama keluar masuk bagi 3,500 kakitangan dan 35,000 pelanggannya dalam usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan di pelabuhan itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Mohd. Haris Ab. Aziz dipetik sebagai berkata, ia merupakan langkah berjaga-jaga selepas mengambil iktibar dari tragedi 11 September 2001 di Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, kata Azizan, langkah Mimos itu, sebagai sektor swasta pertama di negara ini yang mengaplikasi kad berkenaan dalam soal pengurusan dalaman dan kegunaan pelanggannya harus dicontohi oleh syarikat-syarikat lain.

Sementara itu, Tengku Azzman berkata, kejayaan mengaplikasi penggunaan MyKad di Mimos akan menjadi mercu tanda sokongan syarikat itu kepada salah satu daripada tujuh teras dalam projek Koridor Raya Multimedia (MSC).

>> back