News
Archive
Archive 2003 >> Memanfaatkan MyKad
Latest Biometric News
>> back 
Memanfaatkan MyKad

Utusan Malaysia, July 14, 2003

Tahun sudah kita dikejutkan dengan keengganan seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima sebagai sah lesen memandu yang terkandung dalam MyKad, kerana beliau tidak mempunyai alat pembaca.

Kejadian kedua berlaku apabila sebuah mahkamah enggan menerima sebagai sah sebahagian daripada 12 angka di dalam MyKad sebagai bukti sah tarikh lahir seseorang.

Pada 10 Julai, 2003, akhbar-akhbar melaporkan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Azizan Ayob sebagai berkata bahawa aplikasi di dalam MyKad tidak digunakan sepenuhnya oleh para pemegang MyKad.

Jadual, menunjukkan maklumat yang dilaporkan oleh akhbar mengenai jumlah pengguna bagi tujuh aplikasi selain sebagai kad pengenalan.

Datuk Azizan juga dilaporkan berkata bahawa penilaian sedang dibuat sama ada MyKad boleh ditinggalkan di rumah-rumah pengawal.

Cadangan Datuk Azizan untuk meneliti kembali amalan meninggalkan MyKad di rumah pengawal adalah sesuatu yang baik. Namun, penelitian tidak seharusnya terhad kepada cara-cara untuk menyelesaikan masalah yang tertumpu kepada isu peninggalan MyKad di rumah pengawal saja. Penelitian harus dibuat secara menyeluruh terhadap penggunaan MyKad.

Antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam penelitian ini ialah:

l Mengkaji sama ada undang-undang yang ada membantu atau membantut pelaksanaan MyKad;

l Mengkaji sama ada prasarana yang mencukupi sudah tersedia;

l Mengkaji sama ada rakyat selesa terhadap penggunaan MyKad sebagai satu-satunya kad serbaguna;

l Mengkaji tahap keselamatan maklumat yang terkandung di dalam MyKad

Keengganan

Isu berkaitan keengganan penerimaan MyKad oleh pegawai JPJ di Negeri Sembilan bukan sekadar tidak ada alat pembaca. Ia sebenarnya jauh dari itu. Ia melibatkan undang-undang.

Misalnya, sudahkah undang-undang JPJ dipinda untuk membolehkan MyKad diterima sebagai ganti kad pemandu yang dikeluarkan oleh JPJ?

Jika tidak, kes-kes seperti ini mungkin menghadapi masalah jika sampai ke mahkamah.

Berhubung dengan penolakan mahkamah menerima angka yang terdapat di dalam MyKad sebagai bukti tarikh lahir, apakah kedudukannya kini? Sudahkah kelemahan ini diperbetulkan.

Ini bermakna pihak berkuasa kenalah meneliti undang-undang yang berkaitan dengan jabatan-jabatan terbabit, jika diperlukan, supaya tidak timbul masalah apabila dilaksanakan kelak. Penelitian patut juga dibuat terhadap akta berkaitan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jika berkenaan.

Jaringan

Perlu juga dilihat sama ada prasarana yang ada sudah mencukupi ataupun jaringan hubungan antara jabatan sudah diwujudkan.

Setakat yang dapat diketahui masih belum wujud hubungan jaringan misalnya, antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan JPJ, polis dan JPJ, dan JPN dengan SPR.

Patut juga dikaji sama ada rakyat selesa terhadap penggunaan MyKad sebagai kad serbaguna. Rungutan yang didengar melalui akhbar antaranya mengenai keselamatan, mengenai kad mudah rosak kerana selalu diguna harus diambil perhatian berat dan harus dilihat dalam kontak yang positif.

Memang ada pro dan kontra memasukkan pelbagai aplikasi dalam satu kad. Pro dan kontra ini harus diteliti dengan seimbang dan objektif.

Beberapa aplikasi tidak sesuai dimasukkan ke dalam MyKad. Misalnya, kad Touch `n Go.

Bagi mereka yang menggunakan Touch `n Go bersama SmartTag, kad Touch `n Go perlu dilekatkan kepada alat SmartTag. Ia akan menyukarkan jika aplikasi Touch `n Go dimasukkan di dalam MyKad.

Begitu juga dengan kad MEPS atau ATM. Pada masa ini bank-bank ada mengeluarkan Bankcard secara sendiri. Sebagaimana yang diketahui orang ramai bukan menjadi pelanggan kepada satu bank saja. Kesukaran akan timbul jika mereka ingin memasukkan aplikasi bank seperti MEPS dan ATM ke dalam MyKad.

Keselesaan

Keselesaan dan juga kemudahan penggunaan dalam mengguna MyKad harus diberi perhatian penting dalam soal ini.

Oleh yang demikian adalah wajar kajian dijalankan sama ada rakyat selesa terhadap penggunaan MyKad sebagai satu-satunya kad serbaguna.

Akhir sekali, harus dikaji tahap keselamatan maklumat yang terkandung di dalam MyKad.

Walaupun tahap keselamatan maklumat kini sudah ditingkatkan melalui penggunaan cip 64K berbanding cip 32K sebelumnya, tetapi ada laporan lain menyebut bahawa tahap keselamatan ini masih belum mencukupi.

Seperkara lagi, perubahan melalui peningkatan tahap keselamatan juga menyulitkan orang ramai kerana mereka yang memperoleh MyKad apabila ia mula diperkenalkan, kini terpaksa menggantikannya dengan yang baru.

Selain itu, penambahan aplikasi di dalam MyKad juga dikenakan bayaran tambahan, yang tentunya tidak disenangi oleh orang ramai.

Untuk jangka masa permulaan ini, misalnya untuk lima tahun akan datang, pihak berkuasa harus membenarkan aplikasi tertentu seperti Touch `n Go, Bankcard, dan sebagainya beroperasi berasingan, dan tidak menjadi sebahagian daripada aplikasi MyKad.

Aplikasi maklumat sensitif bercorak peribadi seperti kad pengenalan, lesen memandu, kesihatan, imigresen, pendeknya yang berkaitan dengan kerajaan bolehlah dimasukkan ke dalam MyKad.

Hasil pelaksanaan lima tahun ini diteliti dan jika didapati sesuai barulah diintegrasikan ke dalam satu kad saja.

Bagaimanapun, kita sering juga diingatkan bahawa jangan meletakkan semua telur dalam satu bakul, kerana akibatnya mungkin buruk. Mungkin dalam hal MyKad ini kata-kata hikmat itu harus menjadi iktibar.

>> back