
|
|
Archive 2003 >>
Jabatan kerajaan dilengkapi sistem keselamatan cap jari elektronik
 |
|
|
|
>> back |
|
Jabatan kerajaan dilengkapi sistem keselamatan cap jari elektronik |
|
Utusan Malaysia, Jan 23, 2003
|
|
KUALA LUMPUR 22 Jan. - Semua kementerian dan jabatan kerajaan akan dilengkapi
dengan sistem keselamatan cap jari elektronik yang berupaya mengesan identiti
diri semua kakitangan masing-masing.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh berkata, sistem
tersebut membolehkan ketua jabatan mengenal pasti kakitangannya yang bertugas
dan menghalang orang luar daripada memasuki jabatan kerajaan tanpa sebarang
urusan.
Beliau menambah, mereka yang bukan kakitangan kerajaan tidak boleh menceroboh
mana-mana kementerian atau mengambil dokumen-dokumen yang menjadi rahsia
kerajaan.
``Kerajaan sentiasa peka dalam soal keselamatan dan pengenalan sistem itu dapat
meningkatkan mutu keselamatan kakitangannya yang bertugas di dalam jabatan
kerajaan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis
menandatangani memorandum persefahaman antara PUC Founder MSC Bhd. dan Yayasan
Bekas Perajurit Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Sistem yang dikenali sebagai FingerTec keluaran PUC Founder berfungsi mengenal
pasti individu yang keluar masuk di dalam jabatan terbabit.
Bagaimanapun jabatan itu perlu terlebih dahulu memasukkan segala maklumat
kakitangannya.
Shafie berkata, ketika ini sistem tersebut telah digunakan di Kementerian
Kewangan, Kementerian Pertahanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Tambahnya, syarikat tersebut bercadang untuk menyediakan kemudahan itu di semua
jabatan kerajaan dan institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini.
Dalam pada itu beliau berkata, sistem tersebut membuktikan negara sedang
mengalami pembangunan yang pesat dalam bidang ICT.
Jelasnya, sistem pendidikan negara tidak terkecuali dalam bidang ICT yang mana
setiap guru dilengkapi dengan komputer riba dan peralatan ICT lain dalam
pengajaran mereka terhadap murid-murid di sekolah.
|
|
|
>> back |
|
|
|
|
|