|
PUTRAJAYA 5 Julai - Orang ramai mulai hari ini boleh menggunakan Kad Pintar
Pelbagai Guna Kerajaan (KPPK) atau `MyKad' milik mereka untuk urusan
pengeluaran wang menerusi mesin teller automatik (ATM).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kemudahan
terbaru itu adalah tambahan kepada enam aplikasi sedia ada iaitu kad
pengenalan, lesen memandu, maklumat imigresen, maklumat kesihatan, e-tunai dan
Touch `n Go.
"Kerajaan pada hujung tahun ini juga dijangka akan memuatkan aplikasi terakhir
iaitu prasarana kekunci awam dalam MyKad," katanya ketika berucap pada Majlis
Pelancaran Aplikasi ATM MyKad di sini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin.
Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, 1.8 juta MyKad telah
dikeluarkan di seluruh negara sejak pelancaran rasmi pada September tahun lalu
termasuk Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, MyKad yang dikeluarkan untuk penduduk
di luar Lembah Klang hanya terhad untuk aplikasi kad pengenalan.
"Saya berharap pengenalan aplikasi lain untuk penduduk di luar Lembah Klang
akan dipercepatkan daripada jadual asal pada tahun 2003," tegas Abdullah.
Zainal Abidin pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran berkenaan berkata,
MyKad yang dipohon di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mulai Julai 2002 secara
automatik akan mempunyai logo 'ATM'.
MyKad terbabit perlu dibawa ke bank untuk diaktifkan sebelum urusan pengeluaran
wang tunai, pertanyaan baki dan pemindahan akaun boleh dilakukan menerusi ATM.
"Orang ramai kini boleh menggunakan MyKad untuk berurusan menerusi ATM yang
disediakan oleh 10 cawangan Bank Bumiputra Commerce Bhd. di sekitar Lembah
Klang," ujarnya.
Beliau memberitahu, sehingga awal tahun 2003 dijangka 3,000 ATM di seluruh
negara akan dinaik taraf bagi membolehkan ia membaca cip yang terdapat dalam
MyKad. ATM terbabit dimiliki oleh Hong Leong Bank Bhd., Bank Islam Bhd., Public
Bank Bhd., Maybank Bhd., Southern Bank Bhd. dan Citibank Bhd.
Tambah beliau, pemegang MyKad yang dikeluarkan sebelum Julai 2002 harus
menukarnya dengan yang baru dengan bayaran RM20. Beliau berkata, JPN juga akan
meminda beberapa akta bagi memastikan alat pembaca MyKad hanya dikeluarkan
untuk anggota penguat kuasa tertentu sahaja seperti polis dan Jabatan
Pengangkutan Jalan.
"Ini bagi memastikan alat berkenaan tidak dijual secara berleluasa sehingga
menyebabkan semua orang boleh membaca maklumat rahsia yang terkandung dalam
MyKad," tegasnya.
|