|
PETALING JAYA 10 Julai - Lesen memandu yang merupakan satu daripada kandungan
Mykad kini boleh diperbaharui di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai
kemudahan baru untuk pemegang kad berkenaan.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Azizan Ayob berkata, Mykad juga boleh digunakan untuk
memperbaharui lesen memandu di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurut beliau, buat masa ini perkhidmatan tersebut terhad di Lembah Kelang
sahaja membabitkan 10 pejabat JPN serta dua pejabat JPJ dan perluasan ke
seluruh negara dijangka bermula pada tahun depan.
Pejabat terbabit ialah JPN Petaling Jaya, Shah Alam, Wilayah Persekutuan,
Klang, Kajang, Seri Kembangan, Salak Selatan, Kepong, Ampang Jaya dan Putrajaya
manakala pejabat JPJ di Wangsa Maju serta Padang Jawa.
``Dengan kemudahan ini orang ramai hanya perlu berurusan pada satu pusat
setempat sahaja untuk permohonan kad pengenalan dan urusan lesen memandu.
``Kemudahan ini merupakan satu usaha berterusan kerajaan khususnya dalam
memberi perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan dan berkualiti,'' katanya pada
sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Whahid Selamat.
Azizan menambah, sebagai permulaan, semua kaunter JPN terbabit hanya menerima
pembaharuan lesen memandu bagi kereta dan motosikal sahaja.
Pembaharuan lesen jenis vokasional iaitu bagi kenderaan berat pula dijangka
hanya dilaksanakan pada akhir bulan ini.
``Bagaimanapun, kaunter JPJ di Padang Jawa dan Wangsa Maju menerima semua jenis
pembaharuan lesen memandu,'' katanya.
|