|
TEKNOLOGI cip dan biometriks yang digunakan pada Kad Pintar Pelbagai Guna
Kerajaan (KPPK) mampu meningkatkan keyakinan yang tinggi dikalangan pengguna
khususnya dari aspek keselamatan.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Azizan Ayob berkata,
ciri-ciri keselamatan tersebut melindungi pemegangnya dari sebarang pemalsuan
dan salah guna kad. "Ia juga memastikan data yang disimpan dalam kad tersebut
adalah tepat dan selamat," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Petaling
Jaya, baru-baru ini.
Menurut Azizan, berdasarkan kepada ciri-ciri keselamatan yang tinggi itu,
pihaknya juga bercadang untuk memperluaskan kegunaan kad tersebut kepada sektor
pengangkutan dan perbankan tidak lama lagi. Katanya, langkah itu adalah wajar
memandangkan fungsi kedua-dua sektor terbabit semakin penting kepada rakyat
Malaysia kebelakangan ini.
"Dengan pertambahan bilangan tol dan pengangkutan awam di negara ini, kami
harap dapat membina sistem yang membolehkan kita membayar tol, tambang
keretapi, LRT dan bas menggunakan KPPK tidak lama lagi." Ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha keras membangunkan infrastruktur
yang serupa seperti mesin teler automatik (ATM) supaya pengguna dapat
mengeluarkan duit menggunakan KPPK.
"Bagi sektor perbankan, kami bercadang mewujudkan suatu sistem yang boleh akses
kepada akaun bank pengguna untuk keluarkan duit menggunakan KPPK," jelasnya.
Beliau menjelaskan, bagi mengelakkan pengklonan dan penggodaman, pihaknya akan
menambah beberapa ciri keselamatan lain seperti menggunakan nombor pin dan cap
jari.
Beliau menambah, langkah tersebut juga membuktikan kerajaan memandang serius ke
arah mencapai visi pengurusan tanpa kertas di negara ini. Kerajaan Malaysia
membelanjakan sebanyak RM270 juta bagi membangunkan KPPK yang mula di
perkenalkan kepada orang ramai bulan lalu. Jumlah itu membabitkan pelaburan
fasa pertama projek perintis KPPK iaitu untuk kawasan Lembah Klang yang bermula
sejak 1997.
Ini termasuk kos membangunkan aplikasi dan perisian, pusat pengeluaran kad,
pangkalan data, peranti bagi membaca kad, infrastruktur dan rangkaian serta
latihan dan perkhidmatan lain.
Menurut Azizan, sehingga kini sebanyak 90 ribu KPPK telah dikeluarkan dan
dijangka akan meningkat sehingga 600 ribu lagi menjelang penghujung tahun ini.
KPPK yang berfungsi sebagai kad pengenalan, lesen memandu, pasport, kad
kesihatan, kad bayaran tunai elektronik dan lain-lain itu adalah kad pintar
pelbagai guna pertama di dunia. Kad pintar tersebut menggunakan teknologi
terkini seperti mikrocip dan enkripsi keselamatan termasuk cap jari serta imej
maya ( ghost image).
"Kami mensasar KPPK akan digunakan secara meluas dan jayanya di seluruh negara
pada tahun 2007 nanti," tambahnya.
|