News
Archive
Archive 2001 >> Multipurpose Smart Card
Latest Biometric News
>> back 
Multipurpose Smart Card

Oleh: JOHARDY IBRAHIM


ABDULLAH Ahmad Badawi menunjukkan tanda bagus sambil memegang arca MyKad miliknya pada majlis pelancaran Mykad di Kuala Lumpur, malam tadi. Di sebelahnya, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Aseh Che Mat.

KUALA LUMPUR 5 Sept 2001. - Kad pintar pelbagaiguna kerajaan yang dikenali dengan nama `MyKad' bukan saja yang pertama di dunia, tetapi juga ciptaan yang menjadi kebanggaan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, MyKad akan meningkatkan keberkesanan cara rakyat menjalankan urus niaga harian antara kerajaan dan juga sektor swasta.

``Ia juga bakal merevolusi cara berurusniaga antara pengguna, peniaga dan kerajaan serta menawarkan pelbagai penyelesaian kepada semua,'' katanya semasa melancarkan Kad Pintar MyKad, satu daripada tujuh aplikasi Koridor Raya Multimedia (MSC) di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, malam ini.

Abdullah berkata, perkataan MyKad bermaksud iaitu `My' selaras dengan alamat Internet Malaysia dan perkataan bahasa Inggeris bermaksud milikan peribadi, manakala Kad adalah singkatan `Kad Akuan Diri' yang juga bermaksud Kad.

Pada masa ini, katanya, MyKad menggabungkan kad pengenalan, lesen memandu, maklumat imigresen, kesihatan, MEPS Tunai dan capaian kepada prasarana kekunci awam (PKI).

Di masa hadapan, katanya, MyKad akan menawarkan lebih aplikasi dengan kegunaan yang lebih meluas.

``MyKad adalah lebih daripada satu kad di dalam satu kad. Ia adalah sekeping kad yang memudahkan dan mempunyai pelbagai aplikasi serta selamat,'' katanya.

Menteri Dalam Negeri juga berkata, di dalam masa terdekat, tambah beliau, MyKad boleh digunakan sebagai kawalan akses untuk masuk dan keluar daripada rumah dan pejabat.

Katanya, apabila menaiki kenderaan awam seperti teksi, kereta api atau bas, MyKad boleh digunakan sebagai ganti tukaran syiling.

Menurutnya, pemegang MyKad juga boleh memperbaharui lesen memandu di semua cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan atau di mana-mana kaunter perkhidmatan kerajaan yang bertindak sebagai `one-stop center' untuk permohonan MyKad dan perkhidmatan lain yang berkaitan.

Beliau berkata, pemegang juga turut dapat menggunakan MyKad sebagai kad ATM atau sebagai alat urusniaga E-Dagang dengan penuh keyakinan dengan aplikasi prasarana kekunci awam.

``MyKad memudahkan dan selamat, ia juga dapat mengurangkan masalah penggunaan kertas dan pengisian borang yang konvensional serta masa dan produktiviti dapat digunakan dengan lebih berkesan dan efektif,'' katanya.

Abdullah berkata, persoalan telah ditimbulkan mengapa Malaysia sebagai negara membangun mahu melaksanakan sesuatu yang besar seperti wawasan Teknologi Maklumat (IT) dan projek MSC dan kad pintar itu.

``Jawapannya mudah iaitu dengan inisiatif MSC dan terutama kad pintar, kepakaran dan teknologi terkini akan dapat dibawa masuk ke negara ini dan Malaysia akan menjadi lebih daripada sekadar penggunanya.

``Ini adalah satu langkah yang bijak memandangkan selama ini, kemajuan teknologi Malaysia terhad kepada penggunaan, pelaksanaan dan penyelenggaraan,'' ujarnya.

Semuanya itu, kata beliau, menyumbang kepada pengaliran wang yang banyak ke luar negara setiap kali perubahan sistem disebabkan undang-undang Hakcipta dan kurangnya kepakaran untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

``Dengan menggunakan syarikat-syarikat tempatan untuk mereka bentuk, membina dan melaksanakan prasarana kad pintar itu, industri IT negara ini juga boleh belajar, membangun dan menguasai teknologi-teknologi baru,'' ujarnya.

Projek Kad Pintar itu juga, katanya, akan menjadi asas kepada infrastruktur digital yang dibina oleh kerajaan untuk mengemudi Malaysia ke dalam era teknologi.

``Kerajaan berhasrat untuk menggunakan kad pintar sebagai landasan untuk meningkatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dengan meletakkan projek kad pintar sebagai alat pengenalan digital utama bagi membenarkan rakyatnya berinteraksi dengan perkhidmatan baru kerajaan yang berasaskan Internet,'' katanya.

Pada masa ini, Abdullah berkata, lebih 500,000 kad pintar telah dikeluarkan dan dijangka sejuta kad akan dikeluarkan sehingga penghujung tahun ini.

``Projek kad pintar ini dibangunkan bukan sebagai projek bersendirian, sebaliknya ia direka untuk bertindak sebagai alat yang selari dengan lain-lain inisiatif MSC,'' katanya

>> back