|
PETALING JAYA 12 April - Pelaksanaan Kad Pintar Pelbagai Guna Kerajaan (KPPK)
membolehkan rakyat negara ini menikmati kemudahan-kemudahan perkhidmatan
kerajaan dengan lebih sempurna, mudah dan lebih terbuka.
Pada peringkat pelancaran awal ini, KPPK mempunyai empat aplikasi iaitu kad
pengenalan, lesen memandu, maklumat pasport dan e-tunai.
Dua aplikasi yang akan siap pada penghujung tahun ini ialah prasarana kunci
awam (kunci pintu elektronik) dan maklumat asas kesihatan misalnya, jenis darah
pemilik dan alahan.
Beberapa aplikasi yang sedang dibangunkan ialah kad akses mesin teller
automatik (ATM), bayaran tol lebuh raya, kad pengembara kerap, kad akses
keselamatan dan sebagainya.
Kelebihan KPPK ialah menyediakan kemudahan identiti (AFIS) untuk agensi dan
organisasi lain mengenai kesahihan transaksi, pengesahan `satu ke satu' antara
cap jari pemilik dengan imbasan cap jari di dalam cip, menyokong pengesahan
identiti untuk urusan pembayaran dan sebagai dokumen pengenalan serta bukti
identiti pemilik.
KPPK juga membolehkan perkhidmatan kerajaan elektronik digunakan secara meluas
dengan menyediakan perkhidmatan kerajaan setempat (GSC).
Kerajaan juga membangunkan mesin pembaca mudah alih yang boleh digunakan oleh
pihak berkuasa atau agensi kerajaan, individu dan sektor swasta.
KPPK ini mempunyai ciri-ciri iaitu bersaiz kad kredit dengan 32 kilobait cip
mikroprosesor yang memenuhi syarat ISO 7816 dan lulus ujian SIRIM serta
disahkan oleh Pegawai Keselamatan Kerajaan.
Ia dibangunkan dengan teknologi yang menggunakan perisian tempatan,
Multi-application Chip Operating System (MCOS) dan telah disahkan oleh Proton
World International atau PWI.
Permohonan mendapatkan KPPK boleh dilakukan di semua cawangan Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) di Semenanjung bermula 16 April ini, manakala bagi
Sabah dan Sarawak, sasarannya ialah Februari 2002.
Mereka yang bertaraf penduduk tetap juga boleh menukar kepada KPPK.
Orang ramai tidak diwajibkan menukar kad pengenalan sedia ada kepada KPPK dan
hanya perlu berbuat demikian jika ia hilang, rosak, bertukar alamat dan memohon
pertama kali pada usia 12 tahun.
Kadar bayaran bagi permohonan KPPK ialah RM20 dan kad pengenalan dengan cip
(KPTC) ialah RM10.
Prasarana bagi pelaksanaan projek itu telah disiapkan dan orang ramai boleh
berurusan di mana-mana kaunter JPN dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Empat kaunter yang telah mula beroperasi sekarang ialah JPN Petaling Jaya, JPN
Seri Kembangan, Pusat Perkhidmatan JPN Putrajaya dan JPJ Padang Jawa, Klang.
Enam kaunter lagi dijangka mula beroperasi pada akhir bulan ini atau awal Mei
ialah JPN Wilayah Persekutuan, Shah Alam, Ampang Jaya, Kajang dan Klang serta
JPJ Wangsa Maju.
|